Pembaca WPK

Isnin, September 12, 2011

Kaedah Gabungan Bunyi Kata (KGBK)

(copyright) Profesor Isahak Haron 2006

Modul 1: Pengenalan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK): Latar belakang dan Prinsip

Objektif:

  • supaya guru mengetahui latar belakang dan prinsip Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) sebagai alternatif kepada kaedah abjad/fonik dan kaedah Seluruh Perkataan.
  • Guru dapat menggunanya dalam modul-modul 6 – 8.

Seperti yang dihuraikan dalam Modul 2, 3 dan 4, terdapat dua mazhab dan pendekatan besar dalam pengajaran awal membaca bahasa Inggeris, iaitu pendekatan fonik dan pendekatan seluruh perkataan. Pendekatan fonik bermula dengan mengajar kanak-kanak huruf abjad dan bunyinya, kemudian baru membaca perkataan. Pendekatan seluruh perkataan pula terbalik: ia bermula dari mengajar ‘perkataan’ kemudian ‘analisis perkataan’ supaya murid tahu suku kata, huruf dan bunyinya. Salah satu sebab pengajaran awal membaca dan menulis tidak mudah ialah kerana sistem ejaannya celaru dan tidak fonemik. Jadi sebenarnya terdapat sekumpulan perkataan yang mudah diajar dalam kaedah fonik, dan sekumpulan lagi lebih berkesan diajar secara seluruh perkataan melalui ‘pandang dan sebut’.

Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) bagi pengajaran awal Bahasa Melayu berbeza dengan ‘pendekatan fonik/abjad’ atau ‘seluruh perkataan’ dalam bahasa Inggeris. KGBK berasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam Bahasa Melayu, yang tidak terdapat dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Arab atau Bahasa Cina.

a) Ia mengambil kira sistem ejaan Bahasa Melayu yang sistematik dan

fonemik: maksudnya, setiap huruf mewakili satu bunyi, kecuali huruf e, di

mana terdapat dua bunyi.

Misalnya, huruf a bunyinya ‘aa’, huruf b bunyinya ‘bh’, c bunyinya ‘ch’, d

bunyinya ‘dh’, m bunyi ‘mm’ dan sebagainya. Hanya e mempunyai dua

bunyi, iaitu e taling seperti dalam perkataan ‘emak’, ‘enam’ dan e pepet

seperti dalam ‘ekor’ dan ‘elok’.

Untuk mengetahui lebih lanjut sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,

Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa

Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

b) Suku kata Bahasa Melayu jelas, misalnya ‘ba tu’,‘ka ki’, ‘ma kan’, ‘ka kak’, ‘i tu’, ‘i tik’, ‘se ko lah’, ‘jam ba tan’, ‘bu nga’, ‘ta nya’ ‘pe nyu’ ‘su ngai’ ‘pan tai’, kam pung’, ‘per ja la nan’ dan sebagainya.

c) Tatabahasa Bahasa Melayu lebih mudah berbanding dengan tatabahasa Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Misalnya dalam Bahasa Melayu tidak ada perbezaan bentuk bagi gender (laki- laki atau perempuan) untuk menyatakan ‘banyak’ (plural), untuk menyatakan perbezaan waktu (past tense, present tense) seperti dalam bahasa Inggeris.

Dengan itu pengajaran membaca Bahasa Melayu peringkat awal untuk kanak-kanak (atau kepada sesiapa saja yang mula belajar Bahasa Melayu) boleh dibuat dengan menggabungkan

a) pengajaran ‘bunyi’ asas (fonem) beberapa huruf vokal ‘a i u’ dan bunyi satu atau dua huruf konsonan, misalnya bunyi ‘b’, untuk membentuk bunyi suku kata ‘ba bi bu’, dan

b) terus membaca perkataan mudah ‘baba, bibi, bubu, ubi, ibu abu’, dan frasa seperti ‘bubu baba’, ‘ibu abu’ yang bermakna, dalam satu atau dua pelajaran saja.

Bila kita gabungkan bahagian (a) dan (b) di atas, iaitu mengabung ‘bunyi’

dengan terus membentuk perkataan dan membacanya, kita sudah

mengguna apa yang dipanggil kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK),

Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK), kerana dalam

satu set pengajaran-pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus

digabung menjadi ‘perkataan’ dan dibaca.

Dalam kaedah ini murid diberi asas kemahiran untuk

a) mengesan (attack) sesuatu perkataan, dengan melihat bunyi hurufnya dan suku katanya, jika ia tidak tahu membacanya. Ini penting untuk memberi kemahiran atau kecekapan mereka membaca sendiri perkataan baru. Misalnya setelah murid boleh membaca suku kata ‘ba bi bu‘ dan ‘ca ci cu’ dan boleh membaca perkataan ‘cucu, baca, cuci’ mereka sendiri akan boleh membaca ‘cuba’ dan ‘bucu’.

b) membaca perkataan yang bermakna serentak dalam suatu pelajaran. Dengan ini mereka mendapati proses belajar membaca itu memberi makna dan berguna. Kajian kami menunjukkan kebanyakan murid bermotivasi untuk mencuba lagi membaca setelah mereka mula tahu membaca beberapa patah perkataan begini.

Dalam KGBK

  1. murid tidak perlu diajar mengenal dan menghafal semua huruf abjad secara berturutan dari a, b, c sampai x, y, z seperti dalam kaedah abjad/fonik. Ini mengambil masa panjang (2, 3 bulan di setengah sekolah). Murid juga tidak perlu diajar semua suku kata terbua seperti ba bi bu be be bo, ca ci cu ce ce co, dsb’ yang mengambil masa sebulan lagi, sebelum murid boleh diajar membaca perkataan dan ayat.
  2. murid tidak perlu diajar ‘mengecam seluruh perkataan’ (pandang dan sebut perkataan) dan menghafal bentuknya, kemudian ‘cerakin’ perkataan untuk mengenal huruf dan bunyi huruf, seperti dalam kaedah seluruh perkataan. Dalam KGBK kanak-kanak terus ‘membina’ dan ‘membaca perkataan’ berdasarkan suku kata yang mereka belajar dalam satu pelajaran itu.

3. Perkembangan unit-unit pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat secara

sistematik berturutan (sequential) berkembang, di mana pelajaran yang

lalu terus diguna untuk belajar membaca pelajaran yang baru.

Setiap unit baru berkembang berasaskan unit sebelumnya. Misalnya,

setelah murid belajar membaca ‘b dan ba bi bu’ dan perkataan-perkataan

daripada suku kata ini seperti ‘ibu baba, ubi abu’, murid boleh disambung

berikutnya untuk belajar bunyi konsonan ‘k’ pula; membentuk dan

membunyikan suku kata ‘ka ki ku’ dan terus membaca perkataan atau

frasa ‘kuku kaki aki’. Jika dicantum pula dengan suku kata ‘ba bi bu’

yang dipelajari sebelumnya, murid boleh membina dan membaca

perkataan dan ayat seperti ‘buku abu; abu buka buku’.

Fasa pertama kanak-kanak menguasai membina dan membaca perktaan

suku kata terbuka; fasa kedua membina perkataan suku kata tertutup

(kv +kvk seperti ‘ka sut’, ‘bu kit’ atau kvk+kv) seperti ‘lam pu’ ‘lembu’ dan

sebagainya. Fasa berikutnya murid belajar jenis-jenis perkataan suku

katanya diftong (seperti sungai, pulau) dan imbuhan seperti ber me, mem

seperti ‘berjalan’, ‘memberi’, melawan’ dan sebagainya.

4. Murid juga terus membaca ayat mudah dalam sesuatu pelajaran itu.

Langkah-langkah asas dalam pengajaran membaca dan menulis KGBK.

1. Perkenalkan bunyi vokal mudah a i u, dan cara menulisnya

2. Perkenalkan bunyi konsonan mudah seperti b dan cara menulisnya

3. Bentuk suku kata terbuka (kv) darinya, supaya menjadi ba bi bu dan cara menulisnya.

4. Bina perkataan dari suku kata (kv + kv), seperti ‘baba bibi bubu babu, ibu’

5. Bina rangkai kata atau ayat, seperti ‘ibu abu, babu baba’

6. Murid menulis menyalin apa yang mereka baca: huruf, suku kata dan perkataan.

Pelajaran berikutnya

  1. Ulang pelajaran unit yang lalu
  2. Perkenalkan huruf konsonan baru, misalnya ‘c’
  3. Bina suku kata ca ci cu
  4. Bina perkataan kvkv seperti ‘caca cucu cuci aci acu’
  5. Guna suku kata pelajaran yang lalu ba bi bu, untuk membina lagi perkataan seperti baca bucu cuba
  6. Bina frasa atau ayat seperti cucu aci, ibu cuci ubi, dsb
  7. Murid salin apa yang dibaca.

Kaedah ini dinamakan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata, kerana dalam satu set pengajaran-pembelajaran, ‘bunyi huruf dan suku kata terus digabung menjadi ‘perkataan’ dan dibaca.

Contoh langkah-langkah pengajaran KGBK secara terperinci seterusnya, diberi dalam Modul 4, 5, 6 dan 7.

Semua langkah di atas dibuat dalam satu atau dua pelajaran saja. Ini bererti unsur ‘membunyikan’ huruf dengan membina dan ‘membaca perkataan’ boleh digabungkan dalam sesuatu pengajaran-pembelajaran membaca. Pada akhir setiap pelajaran kanak-kanak ‘boleh’ membaca ‘perkataan’, frasa atau ayat bermakna. Ini didapati lebih mudah dan cepat untuk murid belajar membaca dan menulis, iaitu murid menulis apa yang dibaca. Murid tidak perlu mengenal dan menghafal semua huruf sebelum belajar membaca.

Pendekatan ini membolehkan pembinaan dan susunan bahan pengajaran-pembelajaran dan peningkatan kemahiran membaca dibuat secara berturutan (sequential) dan berkembang (developmental). Contohnya adalah seperti dalam buku saya Mari Membaca, Utusan Publications, 1982, dan Mudah Membaca Bahasa Melayu, Fajar Bakti, 1990; dan buku Bahasa Malaysia, siri Genius, beserta Panduan Guru, Fajar Bakti, 2003, untuk pra sekolah, dan buku Ceria 2M terbitan Ilmu Bakti.

Dari kajian kami, susunan bahan pengajaran-pembelajaran secara berturutan (sequential) dan ‘developmental’, kumulatif dan sistematik ini memudahkan guru mengajar 2M dan memudah murid belajar 2M bahasa Melayu. Dari pemerhatian dan laporan guru, murid boleh membaca dengan lancar ‘cerita mudah’ dalam tempoh kurang dari tiga bulan, jika diajar sejam sehari, lima hari seminggu mengikut susunan KGBK dalam buku itu.

Pendekatan ‘gabungan’ dan susunan bahan secara kumulatif seperti dalam KGBK ini tidak mungkin berlaku dalam ‘pendekatan abjad/fonik’, ‘pendekatan seluruh perkataan’, atau ‘pendekatan eklektik’ yang diguna sekarang untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Pendekatan KGBK menyatakan bahawa tidak perlu dipisahkan ‘sequence’ antara mengenal ‘bunyi-huruf’ dengan membina-dan-membaca ‘perkataan’. Pendekatan KGBK ini juga tidak memulakan pengajaran membaca dengan memperkenalkan ‘perkataan’ (whole word) dahulu dan kemudian ‘mencerakinkannya’ menjadi suku kata dan ‘bunyi’ setiap huruf. Ini menyusahkan dan melambatkan kebolehan kanak-kanak membaca . Dalam kaedah abajd / fonik, murid perlu belajar dahulu nama huruf dan bunyi semua huruf a b c…sampai …x y z sebelum mereka diajar membaca perkataan, frasa atau ayat. Ini juga melambatkan dan menyusahkan setengah murid dan mereka akan tercicir.

Ramai guru masih percaya kuat bahawa kalau murid ‘tidak kenal huruf abjad, murid itu tidak boleh diajar membaca Bahasa Melayu. Begitu juga guru yang mengajar Bahasa Inggeris. Kepercayaan ini didasarkan kepada pengalaman mereka diajar dan belajar membaca di zaman kanak-kanak dahulu, iaitu mengenal huruf abjad a, b, c ..x, y, z dahulu sebelum membaca.

Ibu bapa juga percaya anak-anak hendaklah diajar a b c dahulu sebelum boleh diajar membaca. Maka kadang-kadang timbul konflik di antara guru tadika yang mengajar kanak-kanak membaca mengguna KGBK (dan kanak-kanak itu boleh membaca ), tetapi ibu bapa masih tidak puas hati dan mahu anak mereka diajar a b c. sampai.....x y z mengikut susunan dalam abjad.

Nota

Dalam pengajaran 2M kita perlu juga mengajar kemahiran berbahasa lain, iaitu mendengar dan bertutur. Guru hendaklah membina keempat-empat kemahiran berbahasa ini.

Walau pun terdapat pendekatan gabung jalin sebagai ‘pendekatan am’ untuk mengajar bahasa, ada kaedah dan teknik tertentu khusus untuk mengajar kanak-kanak ’membaca dan menulis’ pada peringkat permulaan. Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) digubal secara sistematik untuk mengajar kanak-kanak 2M, supaya mereka mudah membaca. Kemahiran murid mendengar dan bertutur terselit secara informal semasa guru dan murid, murid dan murid berbual, mendengar dan bercakap. Guru tentu sekali harus mengajar murid menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan standard. Guru hendaklah juga selang selikan aktiviti pengajaran membaca dengan membaca kuat (read aloud) buku kepada murid, atau menyanyi semasa mengajar 2M, supaya murid seronok belajar.

Nota: Ada guru mengguna kaedah dan buku Awal Membaca Siri Genius Fajar Bakti 2006 atau buku yang umpama dalam pengajaran mereka, dan menokok tambah aktiviti untuk memperkayakan pembelajaran. Ini amat digalakkan. Sejak kebelakangan ini, ada pengarang yang mengarang dan menerbitkan buku berdasarkan pendekatan ini, dengan memberi berbagai nama untuknya.

Ringkasnya

Pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) menyatakan bahawa kita boleh menggabungkan proses mengajar ‘mengenal bunyi-huruf’ dengan ‘membina-dan-membaca perkataan’ dalam satu atau dua pelajaran, dan kanak-kanak terus membaca perkataan, frasa atau ayat. Ia digubal atas keistimewaan yang terdapat dalam sistem ejaan Bahasa Melayu, di mana sistem ejaannya fonemik dan sistematik, suku katanya jelas, dan tatabahasanya yang mudah berbanding dengan sistem ejaan yang celaru dan tatabahasa yang lebih kompleks dalam Bahasa Inggeris.

Haruslah diingat bahawa KGBK adalah fasa pertama untuk memudahkan murid mula belajar membaca. Setelah asas awal membaca dikuasai oleh murid, dan murid boleh membaca sendiri ayat dan cerita mudah, maka fasa seterusnya ialah murid diberi dorongan dan peluang membaca berbagai bahan bacaan: cerita, puisi, dan buku pilihan, supaya mereka terus membaca sendiri, dan tertanam tabiat dan minat membaca. Jika ini berlaku, ia akan menjadi bekalan dan asas untuk ‘pendidikan sepanjang hayat’.

Sedikit tentang latar belakang dan sejarah KGBK: Bila dan bagaimanakah KGBK digubal?

Untuk mengelak daripada kekeliruan tentang sejarah dan asal usul Kaedah Gabungan Bunyi Kata ini, dan dakwaan orang lain yang mereka mencipta atau menggubah kaedah KGBK ini, saya perturunkan sedikit sejarah pembinaan kaedah ini dan penerbitan buku-buku saya tentang kaedah ini.

Setelah membaca laporan dalam akhbar, dalam tahun 1979, bahawa 30 - 40% murid di sekolah rendah, terutama di Sekolah Kebangsaan yang tidak boleh membaca, saya pun berfikir bagaimanakah ini boleh terjadi, kerana pada pendapat saya bahasa Melayu sangat mudah untuk diajar membaca dan menulisnya, terutama huruf tulisan rumi. Dari tijauan saya saya dapati kebanyakan guru mengguna ‘kaedah abjad’. Sebahagian kecil mengguna kaedah ‘pandang dan sebut’ (look and say), iaitu kaedah seluruh perkataan yang popular di kalangan guru yang mengajar bahasa Inggeris di peringkat awal.

Saya berpendapat mungkin salah satu sebeb kenapa ramai murid tidak boleh membaca ialah kerana kaedah pengajaran 2M yang kurang berkesan, dan kurang latihan. Maka dengan mengguna pengetahuan teori dan amalan pengajaran Bahasa Melayu yang saya ada untuk menggubal satu kaedah yang boleh menggabung pendekatan ‘fonik’ (berasaskan bunyi) dan pendekatan ‘seluruh perkataan’.

Pada 8 – 10 Disember 1979 saya membentang satu kertas kerja di KONPEN IV anjuran Persatuan Suluh Budiman di Kuantan, Kertas bertajuk “Beberapa Kaedah Mengajar Murid-Murid Membaca Bahasa Malaysia di Peringkat Awal,” . Dalam kertas ini saya meninjau beberapa kaedah mengajar membaca BM di peringkat awal, dan memperkenalkan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) sebagai cadangan untuk mengatasi ramai murid di sekolah rendah, terutama di Sekolah Kebangsaan, yang tidak boleh membaca.

• Kertas kerja ini diterbit dalam Jurnal Dewan Bahasa Jilid 24 Bil. 7, Julai 1980.

( lihat Lampiran 1).

• Pada Februari 1980 satu bengkel diadakan bersama guru-guru sekolah kebangsaan di Kuala Terengganu, untuk membina bahan pengajaran/pembelajaran mengguna kaedah ini, untuk dicuba di sekolah kebangsaan. Pemerhatian rambang guru mendapati kaedah ini berkesan. Guru mendapati ia mudah diguna, dan murid mudah belajar 2M.

• Bulan April 1980 Kaedah ini dibentang di Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), di Jalan Duta. Kaedah ini dianggap berguna dan dijadikan salah satu kaedah pilihan (ke-4) dalam Buku Panduan Am, Kurikulum Baru Sekolah Rendah, (KBSR) terbitan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1981, ms. 63 – 69.

* Kaedah Gabungan Bunyi-Kata dijadikan asas untuk Panduan Guru Bahasa Malaysia KBSR Tahun I (Jun 1981) untuk SRJK Cina dan SRJK Tamil.

• Tetapi Panduan Guru Bahasa Malaysia (KBSR) Tahun 1 (1981) bagi Sekolah

Kebangsaan tidak mengguna KGBK untuk mengajar Bahasa Malaysia Tahun 1. Kaedah yang menjadi pegangan ialah ‘ Kaedah Cerakin’ (yang dianggap sebagai kaedah PPK) dan Kaedah Abjad, sebagai panduan guru mengajar.

• 1982 Utusan Publications menerbitkan buku saya ‘Mari Membaca’ yang mengguna kaedah KGBK ini (lihat contoh Lampiran 2). Buku ini digunakan di setengah Sekolah SRJK Cina dan Tamil.

* 1986 Fajar Bakti menerbitkan buku saya Kegiatan Tadika 2: Mari Membaca untuk tadika. Buku ini banyak diguna di tadika swasta di bandar-bandar.

• 1990 buku Mudah Membaca Bahasa Malaysia diterbitkan oleh Fajar Bakti, sebagai lanjutan kepada buku Kegiatan Tadika 2 Bahasa Malaysia di atas, untuk murid Tahun 1. (Lihat contoh Lampiran 3).

* 2001 buku di atas telah diedit semula dan diterbit oleh Fajar Bakti dalam siri Tadika Fajar Bakti, dengan jodol Mudah Membaca dan Menulis 1 & 2.

* 2001 buku Ujian Membaca dan Menulis 1 & 2 yang diedit dari buku asal pada 1990, juga diterbitkan oleh Fajar Bakti

* 2003 buku Bahasa Malaysia 1 – 6 Siri Genius (beserta Panduan Guru) diterbitkan oleh Fajar Bakti, untuk prasekolah (Lihat Lampiran 4)

* 1996 Dewan Bahasa dan Pustaka terbitkan buku saya ‘Bahasa Malaysia’ Tahun 1, menggunakan kaedah ini.

Pelajar boleh merujuk artikel dan buku-buku di atas untuk melihat contoh-contoh bahan p & p dan alat ujian.

Rujukan tambahan

* Isahak Haron (1990), Mengajar Membaca Peringkat Awal. Dalam Safiah Osman (ed). Membaca : Satu Pengenalan, Berita Publishing, Kuala Lumpur.

Untuk mengetahui sistem ejaan Bahasa Melayu (Rumi) rujuk,

Dewan Bahasa dan Pustaka (1991), Pedoman umum ejaan rumi Bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Beberapa kajian dibuat tentang keberkesanan kaedah KGBK (untuk huruf rumi dan jawi) oleh pelajar disertasi sarjana pendidikan. Kajian juga dibuat di UPSI misalnya kajian (Laporan, 2004), yang bertajuk dan abstraknya di bawah.

Kajian Awal Membaca Bahasa Melayu: Keberkesanan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata untuk Prasekolah dan untuk Pemulihan (2004)

Abstrak

Kajian ini menyemukakan pendekatan Kaedah Gabungan Bunyi-Kata (KGBK) untuk pengajaran-pembelajaran membaca dan menulis Bahasa Melayu peringkat awal (early reading and writing), sebagai alternatif kepada model atau pendektan ‘Abjad/Fonik’ dan pendekatan ‘Seluruh Perkataan’ ( whole word), yang banyak diperkatakan dalam pengajaran membaca Bahasa Inggeris sejak lebih lima puluh tahun lalu. Pendekatan KGBK menyatakan bahawa pengajaran membaca BM boleh dibuat dengan mengajar kanak-kanak ‘bunyi’ beberapa huruf vokal dan konsonan, menjadikannya suku kata dan terus membina dan membaca ‘perkataan’ atau frasa atau ayat, dalam satu dua pelajaran saja. KGBK ini diasaskan kepada ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Melayu, iaitu sistem ejaannya fonemik (terdapat hubungan yang jelas antara bunyi dan simbol (huruf) (sound-simbol relationship), suku kata perkataan bahasa Melayu yang jelas, dan tatabahasa Melayu agak mudah berbanding dengan sistem ejaan dan tatabahasa bahasa Inggeris. Kanak-kanak prasekolah dan murid ‘pemulihan’ dengan mudah boleh diajar membaca Bahasa Melayu dalam jangka masa yang pendek.

Kajian empirikal, untuk menguji keberkesanan model atau pendektan KGBK, dibuat dalam dua konteks: pertama, konteks pengajaran kanak-kanak prasekolah di 12 tadika Kemas di Hulu Selangor. Setelah tiga bulan guru tadika Kemas mengajar kanak-kanak membaca dan menulis mengguna KGBK, kemajuan kebolehan membaca 326 orang murid di tadika ini agak ketara.

Konteks kedua ialah di mana KGBK digunakan oleh guru-guru pendidikan khas untuk ‘memulihkan’ murid sekolah rendah di Perak dan Pulau Pinang yang ‘tidak boleh’ membaca atau lemah membaca. Soalselidik survey digunakan untuk mendapat repons dan penilaian tentang keberkesanan KGBK daripada sampel 75 orang guru pendidikan khas sekolah rendah di tiga daerah pendidikan: PPD Hilir Perak, PPD Kerian dan PPD Timur Laut Pulau Pinang. Dapatan menunjukkan kumpulan guru yang mengguna ‘sepenuhnya atau sebahagian besar’ KGBK mendapati Kaedah ini mudah dan berkesan untuk ‘memulih’ murid membaca dan menimbulkan minat mereka membaca, berbanding dengan golongan guru yang mengguna ‘separuh saja’ Kaedah ini.

Dapatan dari kajian penggunaan KGBK di kedua-dua konteks menunjukkan yang KGBK berkesan sebagai kaedah alternatif kepada kaedah yang guru amalkan sekarang untuk mengajar murid prasekolah membaca, atau untuk mengajar ‘memulih’ murid yang ‘tidak boleh’ atau lemah membaca BM di sekolah rendah.

Dari segi sumbangan kepada teori atau model pengajaran awal membaca, dapatan kajian keberkesanan KGBK ini ‘menolak’ anggapan bahawa terdapat ‘konflik’ antara kaedah ‘fonik’ dan kaedah ‘seluruh perkataan’ seperti yang terdapat dalam pengajaran awal membaca Bahasa Inggeris. KGBK merupakan model Ketiga dan pendekatan alternatif yang berasas dan ‘viable’ untuk pengajaran awal membaca Bahasa Melayu atau bahasa-bahasa yang seumpama Bahasa Melayu.

Aplikasi praktikal dapatan kajian ini ialah KGBK boleh diguna untuk mengajar kanak-kanak prasekolah dan Tahun 1 membaca dan menulis Bahasa Malaysia dengan lebih mudah dan cepat, dan untuk ‘memulihkan’ masalah ‘tidak boleh membaca’ pelajar sekolah rendah dengan berkesan.

Pendirian kami

Perkongsian ilmiah mestilah berlandaskan keikhlasan dan rasa cinta terhadap budaya ilmu.

Pihak kami memohon pembaca supaya tidak mengamalkan amalan plagiat dalam menyiapkan tugasan dengan menyalin bulat-bulat daripada blog ini.

Setiap salinan artikel atau petikan daripada blog ini ke laman sesawang, akhbar, blog peribadi, artikel dan tugasan mestilah dipautkan ke blog ini sebagai kredit.

Jasa baik dan kerjasama semua pembaca amatlah dihargai dan kami dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Sekian.