PENGENALAN
Lisan merupakan satu daripada kemahiran yang penting dalam menjadi asas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Jika ditinjau dengan teliti, dalam lisan terdapat dua aspek kemahiran kecil iaitu Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur. Kanak-kanak mula menguasai bahasa dari apa yang didengar dan dialaminya. Dia akan cuba meniru serta menuturkannya berulang-ulang.
KEMAHIRAN-KEMAHIRAN ASAS DALAM LISAN
(i) Kemahiran Mendengar
Apabila seseorang itu mendengar, dia seharusnya dapat mengecam, mengenal dan mengamatinya; Iaitu mengenal dan mendiskriminasi bunyi-bunyi bahasa yang berlainan. Kemahiran mengenal dan mendiskriminasikan bunyi-bunyi ini bergantung kepada faktor-faktor fisiologi serta neurologi pendengaran setakat mana kadar pendengarannya dan pengamatan pendengarannya. Secara ringkasnya seseorang itu boleh dikatakan mempunyai kemahiran mendengar jika ia boleh:
- Mendiskriminasi bunyi-bunyi bukan bahasa.
- Mendiskriminasikan unit-unit bunyi bahasa.
- Memahami perkataan, konsep dan kemahiran mendengar perkataan.
- Memahami ayat serta lain-lain elemen linguistik bahasa.
- Mendengar secara kritikal.
- “auding”
- Mengikut arahan.
- Memahami urutan atau sekuan.
- Mengingat kembali.
- Menentukan idea utama / terpenting.
- Membuat inferen dan penyeluruhan atau kesimpulan.
(ii) Kemahiran Bertutur
Satu lagi kemahiran yang tergolong dalam kemahiran lisan ialah kemahiran bertutur iaitu kemahiran menyebut dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam intonasi, nada (tekanan suara), jeda serta helaan yang betul. Unsur-unsur ilmu linguistik yang dinamakan ”suprapenggalan” ini merupakan aspek yang nyata dan penting dalam lisan. Bagi sesetengah bahasa, perubahan kepada unsur-unsur ini akan melibatkan perbezaan maksud atau makna.
Mengenal pasti intonasi yang berbeza-beza ini amat penting bagi mewujudkan suasana pertuturan yang baik, licin dan lancar. Oleh itu aspek ini juga perlu diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
PENGESANAN DAERAH KELEMAHAN LISAN
Guru boleh mengesan kelemahan murid dengan mengamati setiap sebutan dan intonasi pertuturan mereka ketika menjalankan gerakerja / aktiviti lisan.Guru boleh membuat pengesanan khusus dengan merangka, membina serta melaksanakan ujian lisan yang antara lain akan menguji keupayaan murid untuk:
- Mengamati bunyi-bunyi bukan bahasa.
- Mengamati bunyi-bunyi bahasa dan lain-lain elemen linguistik bahasa.
- Memahami konsep dan maksud perkataan / ayat.
- Melakukan ”auding” yang merangkumi aspek-aspek pengamatan pendengaran.
- Mendengar secara kritikal.
Guru boleh mengesan atau menguji kemahiran lisan murid dengan menganalisa rakaman-rakaman yang dibuat berdasarkan kepada sebutan-sebutan atau pengujaran murid-murid. Guru juga boleh menguji kefahaman murid mengenai perkara-perkara yang didengarnya dengan menyediakan item-item soalan yang khusus berkaitan ”auding”.
KAEDAH MENGATASI MASALAH LISAN
- Guru sendiri menjadi model sebagai penutur yang baik untuk ditiru oleh murid-murid.
- Guru mempergiatkan lagi gerakerja / aktiviti lisan untuk murid.
- Guru memperbanyakkan latih tubi sebutan dan intonasi terutama kelemahan khusus murid-murid.
- Guru mempelbagaikan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran.
- Guru menjalankan peneguhan serta pengukuhan serta merta.
- Guru menggabungjalinkan lisan dengan kemahiran bacaan dan tulisan dalam pengajaran dan pembelajaran.
- Guru mewujudkan situasi-situasi yang menggalakkan murid berinteraksi melalui susun atur tempat duduk, pertandingan dan sebagainya
0 ulasan:
Catat Ulasan
Pihak Wasilah Pendidikan Khas menggalakkan kepada pembaca memberi komen dengan memilih pilihan nama/URL supaya pautan blog atau laman sesawang milik saudara dapat dikongsi.